Bot Belacak








Lulusan perakaunan cipta USV tempatan pertama
SHAH ALAM 3 Julai 2008 - Seorang lulusan universiti dalam bidang perakaunan, Azhar Ariffin, 38, menghasilkan bot peninjau tanpa pemandu (USV) pertama buatan tempatan.
Menurut Azhar, prototaip USV itu yang diperbuat daripada bahan gentian kaca dan menggunakan enjin kereta tempatan bakal diuji di laut pada September ini.
Jelas beliau, ujian dari Lumut, Perak ke Sandakan, Sabah itu akan menentukan keteguhan serta kelasakan badan bot dan keberkesanan sistem USV rekaannya.
"Saya mahu membuktikan konsep USV rekaan ini berhasil dan boleh digunakan oleh pihak berkuasa atau pasukan keselamatan.
"Bila konsep ini berjaya, barulah kita akan ubah suai mengikut keperluan pelanggan seperti memasang senjata atau meningkatkan spesifikasi sistem komunikasi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau yang kini bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi memberitahu, kos pembinaan USV tersebut tidak tinggi iaitu kira-kira RM30,000.
Katanya, idea mencipta USV dinamakan Belacak itu datang dari adik kembarnya yang bekerja sebagai polis marin di Sandakan.
Jelas beliau, adiknya sering menceritakan cabaran mengawasi perairan Sandakan khususnya aktiviti penyeludupan disebabkan laut yang luas berbanding jumlah bot peronda yang ada.
Dengan merujuk kepada maklumat-maklumat yang boleh diperoleh daripada internet, beliau mengambil masa kira-kira empat tahun untuk membangunkan prototaip berkenaan.
Azhar menambah, dengan adanya USV, pasukan keselamatan tidak perlu meronda secara kerap dan ini dapat mengurangkan kos bahan api serta penggunaan bilangan anggota.
"Sebagai contoh, polis marin hanya perlu letakkan USV di sesuatu tempat untuk memantau dan mengawasi dari jauh.
"Jika berlaku sebarang pencerobohan atau aktiviti jenayah, maka barulah bot peronda dihantar untuk melakukan tangkapan atau tindakan susulan yang lain," ujar beliau.
Selain polis, katanya, agensi lain yang sesuai menggunakannya adalah Kastam Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Beliau berkata, USV dijangka menjadi keperluan utama pasukan keselamatan dan pihak berkuasa pada masa depan.
Di Asia Tenggara, tambah beliau, hanya Singapura memiliki USV yang direka oleh Israel dan Amerika Syarikat.
- Utusan Malaysia -





















